Monday, January 17, 2011

Tunisia; dari kaca mata Hassan Al-Banna



Hassan Al-Banna pernah ditanya mengenai revolusi , maka beliau menjawab: Kekuatan adalah lambang Islam dalam setiap sistem dan undang-undangnya. Al-Quran al-Karim sendiri menyebut dengan jelas dan nyata:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu. (Al-Anfal: 60)

Nabi s.a.w. juga ada bersabda:
“Orang beriman yang kuat lebih baik daripada orang beriman yang lemah.”

Namun Ikhwan al-Muslimin berfikiran lebih luas dan lebih jauh daripada sekadar bertindak atau berfikiran singkat. Ikhwan akan menyelami segala perkara hingga ke dasarnya, menimbangkan segala kesan serta yang tersirat di sebalik segala perkara. Mereka memahami bahawa peringkat pertama kekuatan ialah kekuatan akidah dan iman. Diikuti dengan kekuatan perpaduan kemudian kekuatan tangan dan senjata. Sesebuah jamaah akan hanya dianggap kuat apabila memiliki segala elemen ini. Jika sebuah jamaah menggunakan kekuatan tangan dan senjata sedangkan akar umbinya goyah dan rangkaiannya tidak stabil atau akidahnya lemah dan imannya tidak membara, jamaah ini akan diakhiri dengan porak peranda.

Ini satu perkara, ada satu lagi perkara iaitu; walaupun kekuatan menjadi simbol Islam namun adakah Islam memerintahkan agar umat Islam menggunakan kekuatan dalam semua keadaan? Ataupun sebaliknya Islam telah menggariskan panduan, meletakkan syarat-syarat tertentu dan memerintahkan agar kekuatan diarahkan kepada tujuan tertentu?

Perkara ketiga, adakah kekuatan menjadi jalan penyelesaian pertama ataupun jalan penyelesaian terakhir? Adakah manusia wajib mempertimbangkan antara kesan baik dan kesan buruk penggunaan kekuatan serta kesan-kesan sampingannya. Ataupun manusia wajib menggunakan kekuatan tanpa mempedulikan apa sahaja yang akan berlaku seterusnya?

Kesemua perkara yang berkenaan dengan penggunaan kekuatan ini akan dipertimbangkan oleh Ikhwan al-Muslimin sebelum Ikhwan menggunakannya. Revolusi adalah implementasi paling keras dalam penggunaan kekuatan. Oleh itu, Ikhwan al-Muslimin meneliti perkara ini sedalam-dalamnya terutama dalam sebuah negara seperti Mesir yang pernah melalui pelbagai revolusi. Namun sepertimana yang kamu tahu kesemua revolusi ini tidak pernah mendatangkan apa-apa hasil. Setelah menilai segala perkara dan segala andaian ini saya boleh katakan kepada mereka yang bertanya tadi:

Ikhwan al-Muslimin akan menggunakan kekuatan hanya apabila tiada pilihan lain iaitu apabila mereka meyakini mereka telah melengkapkan diri dengan iman dan perpaduan. Apabila suatu masa nanti mereka menggunakan kekuatan ini, mereka akan gunakannya dengan penuh berani dan berterus terang. Mula-mula mereka akan memberi amaran, kemudian mereka akan menunggu, setelah itu mereka akan mara dengan penuh rasa yakin dan terhormat. Mereka akan bersedia menanggung segala kesan akibat tindakan mereka itu dengan penuh reda dan pasrah.

Namun Ikhwan al-Muslimin tidak pernah terlintas untuk membangkitkan revolusi malah tidak pernah menaruh harapan dengan revolusi. Ikhwan tidak pernah meyakini keberkesanan revolusi. Walaupun demikian Ikhwan dengan jelas memberi amaran kepada setiap kerajaan di Mesir ini bahawa jika keadaan terus menerus dalam situasi seperti ini di mana pihak pemerintah tidak pernah terfikir untuk membuat perubahan segera kepada masalah yang melanda, sudah tentu keadaan ini akan membawa kepada revolusi.

Namun revolusi tetap bukan cara Ikhwan al-Muslimin dan tidak termasuk dalam agenda Ikhwan. Sebaliknya revolusi tercetus akibat desakan suasana dan keadaan selain pengabaian kepada aspek perubahan. Semua masalah yang semakin meruncing dan semakin kritikal ini hanyalah petanda. Oleh itu, semua pihak perlu segera bertindak.
(dipetik dari buku Himpunan Risalah Hassan Al-Banna)